ANALISIS KEJAYAAN FESTIVAL BUDAYA MALAYSIA 2025 (FBM 2025) : SATU KAJIAN TERHADAP KONSEP COMMUNITY BASED CULTURAL EVENT DI KUALA LUMPUR - Back Stage Call

ANALISIS KEJAYAAN FESTIVAL BUDAYA MALAYSIA 2025 (FBM 2025) : SATU KAJIAN TERHADAP KONSEP COMMUNITY BASED CULTURAL EVENT DI KUALA LUMPUR



ABSTRAK

    Festival Budaya Malaysia (FBM) 2025 yang berlangsung pada 12–16 September 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur telah menghimpunkan 93 aktiviti budaya, penglibatan antarabangsa dan penyertaan 299 vendor perniagaan pelbagai kaum. Kajian ini bertujuan menganalisis kejayaan FBM dari perspektif community-based cultural event dengan menggunakan pendekatan kualitatif. Penyelidik bertindak sebagai pemerhati, tetamu VIP, pemberi hadiah pertandingan, pemerhati gerak kerja urusetia serta melakukan temu bual tidak berstruktur bersama pengunjung, NGO, peserta dan vendor. Dapatan menunjukkan kehadiran pengunjung seramai 309,646 orang dengan pecahan 164,280 (pengunjung lelaki) dan 140,460 (pengunjung perempuan). Penjanaan ekonomi berjumlah RM23 juta berbanding kos penganjuran lebih kurang RM3 juta serta mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records melalui tiga program utama. Penglibatan antarabangsa termasuk Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka, Singapura, Brunei, Cambodia, Lao DPR, China dan Vietnam menambah nilai diplomasi budaya. Hasil analisis menyakinkan bahawa FBM 2025 bukan sahaja berjaya dari aspek ekonomi, malah turut memperkukuh identiti budaya nasional dengan pendekatan Malaysia MADANI iaitu kerajaan meraikan rakyat melalui penglibatan komuniti sebagai penggerak utama.

PENGENALAN 

Festival Budaya Malaysia 2025 (FBM 2025) telah diperkenalkan sebagai sebuah acara bagi meraikan kepelbagaian budaya negara Malaysia. Edisi 2025 menampilkan pendekatan unik melalui konsep community-based cultural event dengan tema “WOW MALAYSIA”.          Pendekatan ini menekankan penglibatan komuniti secara langsung dalam merancang, mengurus dan melaksanakan pengisian program. Bahagian Pengurusan Acara MOTAC bertindak sebagai perancang keseluruhan, penentu dasar dan polisi program agar selari dengan misi dan visi MOTAC khususnya dan Kerajaan Malaysia amnya.
Kajian ini memberi tumpuan kepada analisis kejayaan FBM 2025 berdasarkan kehadiran pengunjung, impak ekonomi, penglibatan vendor, NGO, syarikat serta aspek diplomasi budaya antarabangsa.

SOROTAN LITERATUR

Kajian terhadap community-based cultural events menunjukkan bahawa penglibatan masyarakat adalah kunci kejayaan acara budaya (Matarasso, 1997). 

Teori pembangunan budaya masyarakat menegaskan bahawa acara sebegini membina jati diri, memperkukuh jaringan sosial serta memberi pulangan ekonomi melalui cultural economy (Gibson & Kong, 2005).

Menurut Quinn (2010), festival budaya berfungsi sebagai ruang cultural exchange yang bukan sahaja memelihara warisan tempatan tetapi juga meningkatkan diplomasi antarabangsa. Sementara itu, Getz (2012) menekankan peranan festival dalam menjana destination branding sesebuah negara.

Sorotan literatur ini mendasari analisis FBM 2025 sebagai satu model pengurusan acara budaya yang memacukan cultural development, economic impact and cultural diplomacy.

METODOLOGI KAJIAN 

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif- kajian kes dengan triangulasi data melalui pemerhatian lapangan, temubual tidak berstruktur, analisis dokumen dan data kuantitatif, rekod kewangan dan laporan rasmi.

KAEDAH PENGUMPULAN DATA (PERANAN PENYELIDIK 

Penyelidik berada dalam pelbagai posisi untuk mengumpul data secara holistik:

  •       Tetamu VIP bagi memperoleh gambaran makro tentang objektif kerajaan dan penerimaan rasmi.
  •      Penyampaian hadiah pertandingan bagi melihat peranan kerajaan dalam memberi pengiktirafan.
  •      Perbincangan dengan Ketua Projek (SUB Bahagian Pengurusan Acara) untuk    memahami strategi pengurusan dan cabaran teknikal.
  •      Menyaksikan gerak kerja urusetia bertujuan menilai keberkesanan organisasi, aliran kerja dan koordinasi.
  •      Temubual bersama vendor/syarikat bagi menilai impak ekonomi mikro, kepuasan dan cabaran peniaga. 
  •      Temubual bersama NGO dan peserta bagi menilai impak penglibatan bagi                mengangkat serta mempromosikan produk seni, budaya dan warisan.
  •      Temubual bersama pengunjung bagi menilai tahap kepuasan, pengalaman serta  persepsi pengunjung.
  •       Analisis konsep FBM bertujuan membandingkan teori community-based cultural  event dengan pelaksanaan sebenar.



LATAR BELAKANG PROGRAM

Kepelbagaian aktiviti seni dan budaya di Malaysia mencerminkan kekayaan warisan pelbagai kaum yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain. Keunikan seni budaya menjadi produk pelancongan negara dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat.

TARI    TARIKH: 12-16 SEPTEMBER 2025 (JUMAAT-SELASA)

 MASA: 9.00 PAGI -12.00 MALAM

 TEMPAT: TAMAN TASIK TITIWANGSA, KUALA LUMPUR

            TEMA & TAGLINE

            "WOW MALAYSIA" 

            OBJEKTIF

  •  Menyemarakkan aktiviti seni dan budaya agar terus hidup dan dihargai oleh semua   lapisan masyarakat.
  •  Menjadikan seni budaya dan warisan bangsa sebagai produk pelancongan utama   yang unik dan bernilai tinggi di peringkat antarabangsa. 
  •  Menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui penglibatan aktif sektor seni   dan budaya.
  •  Memupuk semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan nasional menerusi   penyertaan pelbagai kaum dalam aktiviti seni budaya.
  •  Menjana pendapatan dan merancakkan ekonomi komuniti setempat melalui aktiviti   pelancongan berasaskan seni dan budaya .
           
PENGISIAN PROGRAM

Penganjuran festival ini telah melibatkan 93 aktiviti yang merangkumi acarakebudayaan dan kesenian, pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pameran dan demostrasi, produk pelancongan, program interaktif dan acara pentas.  Pengisian aktiviti juga melibatkan negara-negara luar seperti Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka, Singapura, Brunei, Cambodia, Lao DPR, China dan Vietnam. Bagi tujuan penjanaan ekonomi, program ini telah melibatkan 299 vendor yang terdiri daripada pelbagai kaum utama di Malaysia seperti Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak. Pengkhususan produk jualan merangkumi produk makanan dan minuman warisan, produk kraf serta pelbagai produk seni, budaya dan warisan yang merentasi pelbagai kaum di Malaysia.

DAPATAN KAJIAN

Hasil dapatan kajian mendapati bahawa gerak kerja penganjuran program ini juga dilaksanakan berdasarkan kerangka pengurusan strategik sebagai model gerak kerja bagi tujuan perancangan dan pelaksanaan yang meliputi aspek-aspek seperti berikut:

  •          Menganalisis persekitaran dalaman & luaran (internal/external).
  •          Formulasi strategi (formulation).
  •          Strategi pelaksanaan (implementation).
  •          Pemantauan berterusan & penilaian (monitoring & evaluation).

MENGANALISIS PERSEKITARAN LUARAN & DALAMAN  
(EXTERNAL & INTERNAL)

Persekitaran luaran (external)

  • Politik, polisi & sokongan kerajaan - festival ini diletakkan sebagai acara kebudayaan bertaraf kebangsaan (keterlibatan kementerian/agensi berkaitan) serta dipautkan dengan kempen pelancongan (contoh: promosi #VisitMalaysia2026 di saluran rasmi). Strategi sebegini memberikan nilai tambah kepada keberkesanan program dan hal tersebut selari dengan misi dan visi kerajaan yang ingin menarik pelancong dalam dan luar negara seramai mungkin pada tahun 2026.
  • Sosio-budaya & pelancongan - susunan program yang merangkumi makanan, persembahan tradisi & kontemporari, pertandingan dan penglibatan negara ASEAN/luar meningkatkan tarikan pelbagai segmen pengunjung (keluarga, pelancong, komuniti etnik). Laporan media menonjolkan aspek makanan sebagai tarikan utama.
  • Teknologi - penggunaan sistem EAMS+ (Event Analytics and Management System) daripada Plusmore Studio, Universiti Malaya) untuk memantau dan menganalisis kehadiran pengunjung secara masa nyata. Sistem ini merupakan sebahagian daripada usaha MOTAC memperkukuhkan pendekatan berasaskan data dalam sektor pelancongan, seni dan budaya negara.
  • Ekonomi - skala pengunjung (309,646 orang) dan hasil jualan RM23 juta menandakan impak ekonomi yang signifikan berbanding nisbah hasil terhadap kos.

Persekitaran dalaman (internal)

  • Sumber & kapasiti - lokasi di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur yang merupakan established venue dengan “ready crowd” (akses, pemandangan, kapasiti) serta jaringan NGO dan penglibatan syarikat pengurusan profesional memberikan kapasiti pelaksanaan yang tinggi.
  • Rangka kerja organisasi & proses - mekanisme pitching idea, pembahagian dana kepada NGO berdasarkan skala atau komitmen, SOP penganjuran, pasukan tindak balas dan laporan harian menunjukkan proses operasi yang matang.
  • Sumber unik (Valuable, Rare, Inimitable and Organized - VRIO) - model community-cultural based (pihak kerajaan sebagai pemudahcara, komuniti yang melaksanakan), valuable & hard-to-imitate dalam konteks acara nasional serta penggunaan EAMS+ adalah suatu inisiatif yang valuable & rare untuk pengurusan acara skala besar.

FORMULASI  STRATEGI (FORMULATION) 

  • Matlamat strategik melalui aktiviti mempamerkan kekayaan budaya (authenticity), memaksimumkan capaian awam & pelancongan, menjana ekonomi tempatan serta memupuk kerjasama NGO-pengusaha-komuniti.
  • Pendekatan community-based dengan berkonsepkan “kerajaan meraikan rakyat bukan sebaliknya” menjurus kepada strategi desentralisasi pengisian. Kaedah menjemput NGO atau pihak syarikat melakukan sesi idea pitching dan seterusnya memberikan dana berdasarkan skala pengisian program serta menyerahkan proses pelaksanaan program kepada komuniti dan dipantau oleh penganjur. Strategi ini telah menghasilkan kepelbagaian aktiviti (93 pengisian) dan keterlibatan komuniti (299 vendor).
  • Pendekatan & kelainan melalui penonjolan produk makanan dan minuman, persembahan tradisi dan elemen interaktif (pertandingan memanah berkuda, boat racing, pertandingan aktiviti seni, budaya dan warisan) sebagai USP (unique selling points) telah menjadikan program tersebut mendapat tempat di hati masyarakat.

STRATEGI PELAKSANAAN (IMPLEMENTATION)


Berikut adalah beberapa key success yang mempengaruhi kejayaan pelaksanaan FBM. Antaranya adalah seperti berikut:

Lokasi, masa & skala

Lokasi strategik & tarikh pelaksanaan program di hujung minggu, cuti sekolah, cuti panjang memberikan kelebihan akses yang mudah, pendedahan penganjuran program secara maksimum, masa lawatan lebih lama, meningkatkan peluang jualan vendor serta memudahkan penglibatan keluarga atau masyarakat. 

Pengurusan rakan kongsi (vendor, NGO & syarikat)

Jemputan pitching idea kepada komuniti, menyediakan bayaran berdasarkan komitmen atau skala dan menyerahkan gerak kerja pelaksanaan aktiviti kepada vendor, NGO dan syarikat tetapi dengan pemantauan SOP oleh penganjur telah menyeimbangkan kreativiti komuniti dengan kawalan kualiti. Model ini mengoptimumkan sumber manusia dan menurunkan kos tetap penganjur.

Produk & program

Kepelbagaian program (tradisional + kontemporari), program interaktif di booth, pertandingan dan produk yang rare (unik) menjadikan tarikan serta pengalaman baharu kepada pengunjung serta dapat memastikan pengunjung berada di lokasi acara dalam tempoh masa yang panjang. Penglibatan komuniti antarabangsa dalam pengisian program telah menaikkan lagi kredibiliti dan tarikan pelancongan.

Infrastruktur & keperluan produksi/acara

  • Penyediaan multiple small stages dan grand main stage bersama-sama dengan keperluan peralatan lampu, sistem audio dan audio visual memudahkan pelaksanaan serentak pelbagai aktiviti serta memudahkan pengaturan jadual program. Penggunaan grand main stage dan penglibatan artis popular memberikan impak yang tinggi serta menjadi sebahagian daripada tarikan khalayak.
  • Dekorasi yang menarik dan terdapat pintu gerbang di beberapa tempat serta penggunaan billboard di beberapa tempat menambahkan suasana kemeriahan festival dan penceritaan visual.
  • Penyediaan booth dengan konsep FOC / butter trade / sewaan merupakan pendekatan fleksibel untuk menggalakkan vendor baru dan dapat melibatkan pelbagai kategori vendor.

Promosi & media

  • Kerjasama dengan media arus perdana seperti Suria FM telah memberikan impak yang besar dalam memastikan masyarakat umum mengetahui kewujudan FBM. Untuk tujuan tersebut pihak Suria FM telah membuat hebahan 10 kali setiap hari.
  • Pengwujudan saluran media rasmi FBM seperti saluran TikTok telah memastikan siaran liputan secara berterusan dan seterusnya menjadikan kandungan audio visual FBM menjadi viral atau trendy.
  • Pihak penganjur juga telah mengarahkan setiap vendor, NGO dan syarikat terlibat agar sentiasa mengemaskini (update) platform medsos masing-masing pada setiap masa bagi membantu memperluaskan capaian organik (algorithm) dan memudahkan pemantauan buzz (keterujaan).

Operasi harian, keselesaan & keselamatan

  • Pelaksanaan penyediaan laporan berkala dan mengaktifan pasukan tindak balas (response team) bagi mendapat maklum balas dan laporan harian seperti jumlah kehadiran, jualan, pencapaian, kawalan kebersihan & keselamatan.
  • Menyediakan kemudahan tempat duduk dan kawasan riadah seperti meja, kerusi, payung dan khemah telah meningkatkan keselesaan dan pengalaman pengunjung serta mengurangkan risiko reputasi negatif daripada pengunjung.

KAITAN OPERASI FBM DAN TEORI PENGURUSAN STRATEGIK 

  • Analisis persekitaran - FBM memanfaatkan sokongan politik, trend pelancongan & budaya, peluang teknologi dan menguruskan ancaman atau kelemahan (cuaca, keselamatan dan kawalan data) melalui SOP dan pasukan tindak balas.
  • Formulasi – berdasarkan Stakeholder Theory & Resource-Based View (RBV): model community-based cultural events memobilisasikan stakeholders (vendor, NGO, syarikat), manakala RBV menilai EAMS+, lokasi dan rangkaian NGO sebagai aset berdaya saing. 
  • Implementasi- berdasarkan Project Management & Operations Strategy:       penggunaan SOP, gantt chart/timeline, penentuan dana berasaskan pitching, pengurusan vendor dan produksi pentas merealisasikan strategi.
  • Pengawalan & penilaian - Feedback Loops & KPIs: EAMS+, laporan harian, survey pasca-acara membentuk loop pembetulan berterusan (continuous improvement). Teknik ini sejajar dengan model Plan–Do–Check–Act (PDCA).

MAKLUM BALAS UMUM DARI MASYARAKAT


BIL

GOLONGAN

RESPON

1

Vendor

·         Menghargai peluang jualan (hasil

      jualan tinggi berdasarkan data RM23 juta).

·         Ruang pameran/program berskala besar

      mendapat visibiliti yang tinggi.

·         Bantuan dana /FOC booth / sewa rendah

      mempertingkatkan margin keuntungan.

· Promosi melalui media sosial dan    penganjuran besar membantu menarik pengunjung.


2

Penggiat Seni/ Peserta Seni Tempatan

·      Platform yang baik untuk menampilkan budaya dan bakat mereka di acara dan pentas besar.

·       Kesempatan kolaborasi dengan NGO, syarikat dan penganjur rasmi

·   Pengiktirafan melalui program pertandingan  dan sambutan media.


3

Pengunjung Tempatan

· Terhibur dengan kepelbagaian budaya,   makanan dan interaktif.

·     Merasa bangga dengan warisan budaya dan  identiti Malaysia.

·  Pengalaman sekeluarga bagi aktiviti untuk semua peringkat umur dan kaum.

·  Penawaran harga yang berpatutan / acara percuma meningkatkan akses.


4

Pengunjung Antarabangsa

•   Pengalaman budaya yang autentik, makanan        & seni tradisi menarik perhatian. 
•   Program antarabangsa / pertandingan menarik
    mereka. 
•   Lokasi berdekatan pusat bandar memberi            kemudahan akses ke tarikan lain.

5

Peserta Tempatan (seniman/penggiat industri/penyedia program)

·      Kesempatan pertumbuhan professional serta    mempromosikan budaya sendiri.

· Ruang berinteraksi dengan peserta    antarabangsa dapat meningkatkan lagi proses pembelajaran dan jalinan rangkaian.

· Pengiktirafan & pengalaman menunjukkan pencapaian (termasuk Malaysia Book of Records).


6

Peserta Antarabangsa

·  Platform antarabangsa untuk mempamerkan budaya mereka.

·       Pendedahan kepada warga Malaysia & media antarabangsa.

·        Kesempatan jaringan dan potensi kolaborasi.


7

Pegawai Kerajaan

·      Puas hati dengan pencapaian objektif budaya & pelancongan, meningkatkan imej Malaysia MADANI, promosi budaya & perpaduan.

·  Manfaat ekonomi yang signifikan dan data kehadiran besar sebagai bukti kejayaan polisi.

·   Penglibatan NGO & komuniti sebagai        pelaksana memudahkan beban kerajaan.


8

NGO

· Peningkatan visibiliti dan peluang    memperkenalkan budaya komuniti berdasarkan kaum dan etnik.

·  Bantuan kewangan atau sumber daripada   kerajaan dan penaja.

· Peluang belajar dari pengurusan acara profesional.

·    Rangkaian dan kerjasama dengan pihak lain (vendor, seni, kerajaan).


9

Syarikat/Penganjur Professional

·  Projek besar yang menambah portfolio dan kredibiliti.

·  Peluang komersil dalam penajaan, booth, pemasaran dan persaingan produk.

·     Hubungan kerajaan & media yang dapat        dibina.

·       Skala acara dan liputan meluas menjamin ROI dan perluasan jenama.



Data maklum balas yang dicatat adalah merupakan maklum balas umum secara spontan oleh masyarakat khusus daripada kalangan vendor, penggiat seni, pengunjung tempatan, pengunjung antarabangsa, peserta tempatan, peserta antarabangsa, pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerjaan (NGO) dan syarikat. Data maklum balas juga di peroleh daripada capaian AI-Algorithm daripada saluran media sosial utama utama seperti TikTok, Facebook, Instagram dan Portal Berita.


PEMETAAN PENCAPAIAN OBJEKTIF PROGRAM  


BIL

OBJEKTIF

STATUS

PENCAPAIAN

1

Menyemarakkan aktiviti seni dan budaya agar terus hidup dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat

Tercapai

  • 93 program atau pengisian dilaksanakan, melibatkan gabungan seni, budaya dan warisan tradisional & kontemporari.
  • Persembahan muzik, tarian, makanan, busana dan pertandingan memberi ruang kepada penggiat seni pelbagai generasi.
  • Kehadiran 309,646 pengunjung tempatan & antarabangsa membuktikan seni budaya berjaya menarik minat khalayak umum.
  • Pelbagai lapisan masyarakat hadir seperti keluarga, pelajar, pelancong, golongan profesional serta warga emas menjadikan seni budaya lebih dekat dengan rakyat umum dan bukan hanya komuniti khusus.

2

Menjadikan seni budaya dan warisan bangsa sebagai produk pelancongan utama yang unik dan bernilai tinggi di peringkat antarabangsa

Tercapai dengan signifikan

  • FBM berjaya menarik pengunjung antarabangsa dan peserta dari Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka, Singapura, Brunei, Cambodia, Lao DPR, China dan Vietnam.
  • Pertandingan Memanah Berkuda Tradisional Kuala Lumpur, International Boat Racing dan International Drumline & Colurguard Competetion menonjolkan warisan Melaysia dan Asia yang unik.
  • Liputan media arus perdana serta promosi TikTok, Instagram. Facebook dan Portal Media membantu mengangkat acara ini ke pasaran global.
  • Elemen produk makanan etnik (Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak serta ASEAN Corner, dll.) diposisikan sebagai unique tourism experience.

3

Menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui penglibatan aktif sektor seni dan budaya.

Disokong secara langsung

  • Dengan 309 ribu lebih pengunjung, acara ini menjadi pemanas awal menjelang Visit Malaysia 2026. 
  • FBM diposisikan sebagai showcase kebudayaan negara dan berfungsi sebagai daya tarikan pelancong asing untuk datang semula tahun berikutnya. 
  • Data EAMS+ boleh digunakan untuk penentuan aras pasaran pelancongan menjelang 2026.

4

Memupuk semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan nasional menerusi penyertaan pelbagai kaum dalam aktiviti seni budaya.

Sangat tercapai 

  • Penyertaan 299 vendor berbilang kaum dengan 18 NGO serta 10 syarikat membuktikan kepelbagaian latar belakang. 
  • Kehadiran pengunjung daripada pelbagai etnik (Melayu, Cina, India, Sabah & Sarawak, pelancong asing), pelbagai lapisan umur dan jantina mengukuhkan semangat “unity in diversity”. 
  • Program tradisional dan kontemporari memberi ruang kepada semua etnik untuk menonjolkan identiti masing-masing dalam suasana harmoni. 

  • Pencapaian ini juga menepati inspirasi Kerajaan MADANI melalui usaha bersepadu dan holistik untuk membina pentadbiran yang lebih manusiawi dengan penekanan pada sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian, dialog peradaban, dan memajukan masyarakat berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi serta keraifan tempatan.

5

Menjana pendapatan dan merancakkan ekonomi komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan berasaskan seni dan budaya

Sangat berjaya

  • Nilai jualan/penjanaan ekonomi mencapai RM23 juta dengan kos penganjuran RM3 juta. Pencapaian pendapatan kasar RM23 juta adalah hasil jualan daripada 299 vendor yang terlibat dan jumlah tersebut telah disahkan oleh Bahagian Dasar Kebudayaan dan Bahagian Dasar Pelancongan, MOTAC.

  • Dapatan ROI yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan kos penganjuran telah memberikan keuntungan berlipat ganda kepada komuniti vendor & ekonomi bandar.

  • Vendor menerima manfaat terus (jual beli makanan, kraftangan, cenderamata), manakala komuniti sekitar Titiwangsa menikmati limpahan ekonomi (penginapan, parkir, pengangkutan, F&B luar acara).


FBM 2025 secara jelas mencapai kesemua objektif yang digariskan. Ia bukan sahaja berjaya menghidupkan dan mempromosikan seni budaya, malah meningkatkan nilai ekonomi, memperkukuh perpaduan kaum dan membuka jalan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026. Kejayaannya terletak pada strategi community-based cultural event, sokongan kerajaan, penglibatan NGO, syarikat, promosi bersepadu dan daya tarikan budaya yang autentik serta kreatif.

ELEMEN MALAYSIA MADANI DALAM FBM 2025

Melalui pengamatan secara dekat dan teliti didapati tujuan dan strategi pelaksanaan penganjuran program Festival Budaya Malysia (FBM) telah secara langsung terkait dengan nilai-nilai 6 teras Malaysia MADANI iaitu keMampanan (sustainability), kesejAhteraan (prosperity), daya cipta (innovation), hormAt (respect), keyakiNan (trust), Ihsan (compassion).

Hal tersebut dapat dilihat melalui pemetaan ringkas di bawah:

  • Kesejahteraan (prosperity) - FBM telah menghasilkan jualan kasar RM23 juta untuk ekonomi mikro (vendor kecil) dan hal ini sejajar dengan hasrat MADANI untuk pengagihan kesejahteraan.
  • Kemampanan (sustainability) - model community-based cultural events yang telah melibatkan NGO & vendor tempatan dan setempat telah mengurangkan kebergantungan kepada kontraktor besar dan seterusnya mempromosikan kesinambungan program bersifat komuniti.
  • Daya cipta (innovation) - penggunaan platform EAMS+ serta strategi penggunaan platform rasmi TikTok secara harian dan meluaskan adalah merupakan suatu proses kerja inovasi teknikal & pemasaran.
  • Hormat & ihsan (respect & compassion) – penglibatan secara inklusif pelbagai etnik meliputi produk makanan, produk seni, budaya dan warisan mengikut kaum dan etnik serta penglibatan komuniti mencerminkan prinsip hormat dan prihatin kepada warisan budaya bagi kaum-kaum utama di Malaysia.
  • Keyakinan (trust) - keupayaan penganjur untuk menyerahkan pengisian dan pelaksanaan program kepada NGO sambil memantau pematuhan berkaitan SOP serta menyediakan data harian yang telus (EAMS) membina keyakinan antara kerajaan - komuniti - pelabur.

Dengan itu, sistem operasi model FBM menunjukkan satu aplikasi praktikal dasar MADANI iaitu “kerajaan meraikan rakyat” dengan memberi ruang, peluang, modal dan fasilitasi supaya komuniti boleh merancang, mengurus, melaksana dan mengawal sesuatu acara bukan berasaskan secara top-down sepenuhnya. Ini juga mengukuhkan hujah bahawa program rakyat dipimpin oleh kerajaan boleh mencapai impak ekonomi dan sosial yang besar selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

RINGKASAN KEKUATAN UTAMA FBM 2025

  • Pemilihan lokasi, tarikh dan masa yang tepat.
  • Model community-based cultural events yang menggalakkan kepelbagaian pengisian  dan penglibatan.
  • Pihak penganjur telah merancang dengan teliti penggunaan ruang di Taman Tasik Titiwangsa dengan merancang pengisian program yang melibatkan ruang darat, ruang udara dan ruang air.
  • Pihak penganjur juga mengoptimumkan pengisian aktiviti atau program yang        melibatkan pelbagai kaum utama di Malaysia, komuniti seni, budaya dan warisan, melibatkan pelbagai peringkat umur serta jantina.
  • Pengurusan rakan kongsi (vendor, NGO & syarikat profesional) dan sistem      pembiayaan berasaskan komitmen.
  • Promosi multimedia yang agresif (media arus perdana Suria FM + Tiktok, Facebook, Instagram & Portal Media).
  • Produk makanan & budaya sebagai magnet komersial.
  • Pemantauan masa nyata (EAMS+), menyediakan laporan harian dan penubuhan pasukan tindak balas (response team).
  • ROI kehadiran pengunjung dan penjanaan ekonomi yang tinggi.

CADANGAN UNTUK MENGEKALKAN & MEMPERTINGKATKAN KEJAYAAN 

  • Bangunkan Event Data Dashboard bertujuan mengintegrasikan EAMS+, jualan vendor (POS), liputan media & sentiment di satu papan pemuka untuk keputusan masa nyata (real time).
  • Program latihan vendor & SOP jualan dengan melatih vendor untuk peningkatan transaksi (POS bersepadu), pengemasan dan pemasaran digital.
  • Kekalkan model idea pitching tapi tambah curatorial standards sebagai panduan menjaga kualiti agar kebebasan variasi tidak mengorbankan kesesuaian tema.
  • Sustainability plan bertujuan pengurusan sisa makanan, pengurangan plastik, laluan akses & kemudahan untuk OKU.
  • Jejak alam & kebersihan kerana acara di taman berisiko kerosakan habitat serta pepohon dan peningkatan sampah jika tiada pengurusan hijau yang ketat.
  • Kesesakan & keselamatan apabila melibatkan kehadiran 300k+ pengunjung memerlukan sistem zon kapasiti, laluan kecemasan dan pemantauan dari masa ke semasa.
  • Peningkatan pendapatan secara bertahap dengan mengekalkan kemasukan secara percuma bagi program tertentu serta pertimbangkan zon premium berbayar (VIP experience, pakej korporat) untuk menambah hasil pendapatan.
  • Dokumentasi & IP acara dengan mempertimbangkan pendokumentasian rasmi (video dan laporan) untuk tujuan promosi & pelaporan ROI kepada kementerian dan rujukan pada masa hadapan.
  • R&D pembangunan program dengan melakukan analisis data demografi untuk merancang program yang lebih fokus pada segmen yang memberikan nilai perbelanjaan lebih tinggi.


RUMUSAN

Kajian mendapati bahawa Festival Budaya Malaysia (FBM) 2025 berjaya bukan sahaja dari segi kuantitatif, tetapi juga dari aspek kualitatif melibatkan penglibatan komuniti, impak sosial dan diplomasi budaya. Dapatan menunjukkan kehadiran lebih 309,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran, sekaligus menepati ciri-ciri utama festival budaya yang berkesan sebagaimana digariskan oleh Getz (2012) iaitu skala besar, kepelbagaian pengisian dan pulangan ekonomi signifikan. Secara keseluruhan pecahan pencapaian adalah seperti berikut:

Kejayaan dari aspek penglibatan komuniti

FBM 2025 dilaksanakan berasaskan pendekatan community-based cultural event yang menekankan penglibatan masyarakat dalam merancang, melaksana dan mengurus program. Hal ini bertepatan dengan pandangan Matarasso (1997) bahawa penyertaan masyarakat dalam aktiviti seni dan budaya meningkatkan rasa kepunyaan (sense of ownership), memperkukuh jaringan sosial dan memupuk nilai kebersamaan. Oleh itu, kejayaan FBM bukan hanya dinilai pada skala pengunjung, tetapi juga pada tahap empowerment komuniti yang terlibat sebagai vendor, peserta pertandingan dan tenaga penggerak.

Kejayaan dari aspek ekonomi

Pulangan ekonomi berjumlah RM23 juta berbanding kos RM3 juta menunjukkan ROI hampir 7.6 kali ganda. Hal ini membuktikan festival budaya mampu menjadi pemangkin kepada cultural economy (Gibson & Kong, 2005). Ia juga menunjukkan potensi FBM untuk menjadi model pembangunan ekonomi kreatif yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan budaya Malaysia.

Kejayaan dari aspek diplomasi budaya

Penglibatan negara luar seperti Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka, Singapura, Brunei, Cambodia, Lao DPR, China dan Vietnam dalam acara seperti pertandingan memanah berkuda tradisional Kuala Lumpur, International Boat Racing dan International Drumline & Colurguard Competetion memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab budaya serantau. Quinn (2010) menegaskan bahawa festival budaya merupakan wadah diplomasi budaya yang menggalakkan pertukaran nilai serta mengeratkan hubungan antarabangsa melalui people-to-people connection. Justeru, FBM berfungsi sebagai soft power Malaysia dalam arena budaya antarabangsa.

PENUTUP

Berdasarkan penglibatan dan pemerhatian, temubual, maklum balas vendor dan pengunjung serta proses gerak kerja urusetia adalah dapat disimpulkan bahawa Festival Budaya Malaysia 2025 (FBM 2025) adalah merupakan suatu contoh tadbir urus sebuah acara di peringkat nasional yang berjaya berdasarkan butiran serta dapatan seperti mana yang telah dibincangkan di atas. Pencapaian yang sangat cemerlang dalam Festival Budaya Malaysia (FBM) menunjukkan bahawa model ini bukan hanya berimpak tinggi dari penghayatan seni, budaya dan warisan tetapi juga memberi pulangan ekonomi yang sangat tinggi kepada pelbagai pihak-pihak yang terlibat.

Pada pandangan penyelidik, program sebegini seharusnya diteruskan pada masa-masa akan datang kerana produk yang berkaitan seni, budaya dan warisan telah dan akan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa. Keutamaan yang diperlukan adalah sebuah gerak kerja yang teliti dalam merangka program agar menepati aspirasi rakyat dan kerajaan secara serentak. Dalam hal ini, pendekatan dan konsep penganjuran FBM dilihat berjaya menggabungkan kedua-dua elemen tersebut.

Oleh:

Prof. Madya Ts. Is. Dr. Zulkifli Ab. Rashid

Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)

Tarikh: 19 September 2025



Post a Comment

0 Comments