PENGURUSAN PRODUK SENI, BUDAYA DAN WARISAN TIDAK BOLEH HANYA DI PERINGKAT CONSERVATION ATAU PRESERVATION SEMATA-MATA - Back Stage Call

PENGURUSAN PRODUK SENI, BUDAYA DAN WARISAN TIDAK BOLEH HANYA DI PERINGKAT CONSERVATION ATAU PRESERVATION SEMATA-MATA



Pengenalan

Isu berkaitan produk seni, budaya dan warisan negara yang semakin terpinggir bukanlah perkara baharu dalam wacana kebudayaan nasional. Meskipun pelbagai usaha telah dilakukan oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi di bawahnya seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya, Jabatan Warisan Negara dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), impak terhadap kesedaran masyarakat masih rendah dan perlu dipergiatkan lagi. Faktor limpahan budaya asing yang tidak terkawal dek kecanggihan teknologi digital telah memburukkan lagi nasib seni, budaya dan warisan tempatan. Dalam hal ini, persoalan mendasar tentang keberkesanan strategi yang terlalu tertumpu kepada aspek pemuliharaan (preservation) dan pemeliharaan (conservation) semata-mata tanpa memberi tumpuan kepada usaha pengaktifan (activation) dan pembaharuan (revitalization) seni, budaya serta warisan agar kekal relevan dalam konteks semasa perlu dilihat semula.

Faktor kelemahan strategi sedia ada

Terdapat banyak faktor yang boleh di teliti serta diperbaharui gerak kerja pengukuhan industri seni, budaya dan warisan negara. Dalam aspek ini, kita mungkin boleh merujuk negara-negara yang telah terbukti kecemerlangan pengukuhan produk seni, budaya dan warisan mereka seperti Korea Selatan, Thailand, Indonesia, China dan Jepun. Kesemua negara-negara tersebut telah membentuk suatu tindakan yang strategik dan komprehensif bagi memastikan insdutri tersebut mampu berdaya bersaing di peringkat lokal dan antarabangsa. Penumpuan kepada preservation dan conservation semata-mata tidak boleh lagi dianggap suatu gerak kerja yang konkrit dalam memastikan seni, budaya dan warisan negara relevan dalam era globalisasi dan digital kini. 

Antara punca utama isu ini berlanjutan ialah pendekatan pembangunan seni, budaya dan warisan yang bersifat statik, birokratik dan tidak menepati kehendak masyarakat moden khususnya generasi muda yang pelbagai kaum. Aktiviti kebudayaan kebanyakannya dijalankan di peringkat institusi dan bersifat formal menyebabkan ia dilihat jauh daripada pengalaman sosial harian. Selain itu, jurang penglibatan antara komuniti akar umbi dengan institusi rasmi semakin melebar, manakala model pembiayaan kebudayaan masih berorientasikan bantuan sementara bukan pelaburan jangka panjang yang membangunkan ekosistem ekonomi budaya yang mampan. Keadaan ini dilemahkan lagi oleh fragmentasi institusi yang menyebabkan fungsi dan peranan agensi saling bertindih tanpa integrasi strategik yang jelas. Dalam masa yang sama, pendidikan seni dalam sistem formal tidak menonjolkan hubungan antara warisan dengan pembangunan kemahiran berdaya maju seperti keusahawanan kreatif, reka bentuk produk dan pemasaran digital.

Strategi lama dan baharu perlu diperkasakan semula

Oleh itu, paradigma baharu perlu digerakkan daripada fokus kepada pemeliharaan kepada pengaktifan warisan sebagai sumber ekonomi dan identiti dinamik. Strategi ini menuntut pendekatan hibrid yang menggabungkan elemen budaya, ekonomi, pendidikan dan teknologi secara menyeluruh. Dalam konteks ini, seni dan warisan tidak seharusnya dilihat sebagai entiti pasif untuk dilindungi tetapi sebagai aset hidup yang boleh mencipta peluang pekerjaan, menjana ekonomi komuniti dan memperkukuh jati diri nasional. Prinsip shared stewardship atau tanggungjawab bersama antara kerajaan, institusi pendidikan, komuniti dan sektor swasta perlu diterapkan agar pemeliharaan dan pembangunan seni budaya menjadi tanggungjawab kolektif dan bukan hanya bersifat dasar kerajaan semata-mata. Penganjuran program Festival Budaya Malaysia 2025 anjuran Bahagian Pengurusan Acara (BPA) MOTAC yang berorientasikan Community Based Cultural Event (CBCE) adalah suatu model penganjuran yang terbaik dan telah terbukti kejayaannya. 

Dari segi tindakan konkrit, usaha jangka pendek boleh dimulakan dengan kempen re-interpretasi seni dan warisan untuk generasi muda melalui kolaborasi antara artis tradisional dan influencer kontemporari di platform digital seperti TikTok dan YouTube. Program artist in residence di sekolah dan komuniti juga boleh memperkukuh pemindahan pengetahuan antara generasi, manakala pembangunan peta digital dan micro-archive tentang warisan setempat dapat meningkatkan akses awam terhadap sumber budaya. Dalam masa yang sama, pengenalan micro-grant yang terarah kepada individu dan komuniti bagi menghasilkan produk kreatif berasaskan warisan dapat merangsang inovasi akar umbi.

Bagi jangka sederhana, transformasi kurikulum perlu dilakukan dengan mengintegrasikan modul cultural entrepreurship dalam sistem pendidikan seni agar pelajar bukan sahaja memahami nilai budaya tetapi juga mampu membangunkan model perniagaan berasaskan warisan. Model komersial heritage as a service pula boleh dibangunkan melalui pakej pengalaman warisan yang menggabungkan bengkel kraftangan, makanan tradisional dan persembahan seni sebagai produk pelancongan tempatan. Penubuhan pusat inkubator kreatif warisan dan platform pasaran digital boleh memudahkan penggiat budaya memasarkan hasil karya mereka, manakala pendekatan pembiayaan campuran (blended finance) antara dana awam dan pelaburan swasta dapat memastikan kelangsungan inisiatif warisan secara mampan.

Dalam jangka panjang, satu dasar nasional yang integratif perlu diwujudkan bagi mengiktiraf warisan budaya sebagai sebahagian daripada industri kreatif negara. Pembentukan badan penyelaras nasional yang melibatkan kerajaan, komuniti, akademia dan sektor swasta juga penting bagi memastikan strategi pembangunan budaya dilaksanakan secara holistik dan berpaksikan bukti. Selain itu, sistem pendidikan kebangsaan perlu memasukkan pendidikan seni dan warisan sebagai komponen teras yang menghubungkan sejarah tempatan, teknologi dan keusahawanan kreatif. 

Contoh strategi pengurusaan strategik negara-negara luar

Pendekatan yang bersifat holistik dan mampan dapat juga kita pelajari dari negara -negara berikut:

Korea Selatan

Strategi Cultural Hybridization dan Industri Kreatif Nasional

Korea Selatan merupakan antara contoh paling berjaya dalam mengangkat budaya tempatan ke tahap global melalui pendekatan Cultural Hybridization iaitu penggabungan elemen tradisi dengan budaya popular dan teknologi moden. Strategi utama kerajaan Korea dilaksanakan melalui Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan (MCST) serta agensi seperti Korea Creative Content Agency (KOCCA).

Penggabungan tradisi dan budaya pop (Hallyu) 

Muzik K-pop, drama dan filem Korea kerap memaparkan elemen budaya tradisional seperti pakaian hanbok, makanan kimchi dan seni mempertahankan diri taekkyeon. Strategi ini menjadikan budaya tradisi relevan dan menarik kepada generasi muda.

Pendidikan budaya sejak awal

Subjek budaya Korea dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah dengan aktiviti seperti kaligrafi Hangeul, permainan tradisional dan persembahan seni rakyat.

Pelaburan besar dalam industri kandungan kreatif

Kerajaan menubuhkan dana khas untuk penggiat seni, animasi dan reka bentuk berasaskan warisan tempatan, menjadikannya sektor ekonomi utama.

Festival kebudayaan berskala besar

Acara seperti Seoul Lantern Festival dan Andong Mask Dance Festival menggabungkan persembahan tradisi dan pengalaman pelancongan moden yang mesra digital.

Kesan atau impak

Budaya Korea menjadi jenama nasional (cultural branding) yang mencipta kesedaran mendalam di dalam negara dan pada masa yang sama membina pengaruh budaya global (soft power).

Jepun  

Strategi Cultural Continuity through Innovation

Jepun menekankan kesinambungan budaya melalui inovasi dan disokong oleh dasar jangka panjang yang konsisten di bawah Agency for Cultural Affairs.

Pemeliharaan dengan fungsi ekonomi

Seni dan warisan seperti kimono, ikebana (seni susun bunga), kabuki dan noh dikomersialkan dalam bentuk moden seperti reka bentuk fesyen, animasi dan pelancongan bertema.

Pelabelan dan pengiktirafan artis tradisional 

Gelaran Living National Treasures (Ningen Kokuhō) diberikan kepada individu yang mahir dalam seni tradisi. Ini bukan sahaja memberi pengiktirafan sosial tetapi juga menarik minat generasi muda untuk mewarisi kemahiran tersebut.

Integrasi teknologi dan warisan

Muzium digital seperti team Lab Borderless menggabungkan seni tradisi dengan teknologi interaktif untuk menarik pengunjung muda.

Pendidikan formal dan tidak formal

Sekolah-sekolah Jepun sering mengadakan aktiviti budaya seperti pesta matsuri mini di peringkat sekolah, menjadikan warisan sebagai sebahagian gaya hidup pelajar.

Kesan atau impak

Warisan Jepun bukan hanya dikekalkan tetapi diadaptasi dalam konteks kontemporari tetapi menjadikannya sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat.

Indonesia  

Strategi budaya sebagai identiti Nasional dan ekonomi komuniti

Indonesia memposisikan budaya sebagai asas pembinaan bangsa melalui strategi pelestarian dan pembudayaan komuniti di bawah Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi (Kemendikbudristek).

Program Satu Desa Satu Warisan

Setiap daerah dikenal pasti dengan seni atau produk budaya tersendiri (contohnya batik Pekalongan, gamelan Jawa, wayang kulit).

Pengiktirafan UNESCO sebagai alat promosi nasional

Warisan seperti batik, angklung dan wayang kulit diangkat di peringkat antarabangsa untuk membangkitkan kebanggaan rakyat tempatan.

Program Ruang Kreatif Budaya 

Platform latihan untuk komuniti muda menghasilkan produk kreatif berasaskan tradisi.

Pendigitalan budaya tempatan

Inisiatif seperti Rumah Budaya Indonesia menyediakan arkib digital dan pameran dalam talian yang menghubungkan seni tradisi dengan dunia maya.

Kesan atau impak 

Penglibatan komuniti secara aktif menjadikan budaya sebagai sebahagian daripada ekonomi tempatan sambil memperkukuhkan rasa identiti nasional yang pelbagai.

Thailand

Strategi Cultural Tourism and Soft Economy

Thailand menggunakan budaya sebagai pemacu utama ekonomi pelancongan melalui konsep Creative Thai dan Thailand 4.0 Cultural Economy Model.

Pengkomersialan warisan

Produk seperti sutera Thai, seni ukir kayu dan tarian tradisional dipromosikan sebagai barangan premium melalui jenama nasional (OTOP – One Tambon One Product).

Festival budaya sebagai tarikan pelancong

Acara seperti Loi Krathong dan Songkran disusun semula sebagai perayaan berskala pelancongan tanpa mengorbankan nilai tradisi.

Pendidikan budaya informal

Sekolah dan pusat komuniti sering menganjurkan bengkel memasak tradisional, menari dan seni kraftangan untuk pelajar serta pelancong domestik.

Integrasi media dan pemasaran

Kempen media sosial oleh Tourism Authority of Thailand menggunakan kandungan visual dan naratif budaya yang menarik bagi menghubungkan identiti tempatan dengan gaya hidup moden.

Kesan atau impak

Budaya Thai menjadi sumber ekonomi yang utama serta dapat meningkatkan minat rakyat terhadap warisan sambil memacu sektor pelancongan.

China 

Strategi Cultural Sovereignty and Modern Heritage

China melaksanakan pendekatan Sinicization of Modernity iaitu memperkukuh warisan kebudayaan dalam pembangunan moden.

Reformasi besar sektor kebudayaan

Penubuhan Ministry of Culture and Tourism pada 2018 menyatukan warisan dan pelancongan di bawah strategi nasional.

Pendigitalan seni dan warisan

Projek seperti Digital Dunhuang merekodkan ribuan artifak dan mural kuno dalam bentuk digital 3D.

Pendidikan patriotisme budaya 

Sekolah diwajibkan mengajar sejarah dan seni tradisi, manakala program TV seperti National Treasure menampilkan selebriti muda memperkenalkan khazanah muzium.

Sokongan ekonomi budaya tempatan

Pembangunan bandar budaya seperti Hangzhou Cultural Industry Zone menyediakan inkubator untuk perniagaan berasaskan seni dan warisan.

Kesan atau impak

Rakyat China membangunkan semangat kebanggaan budaya yang kuat melalui pendekatan moden dan berskala besar.

Secara keseluruhannya, perbincangan ini menegaskan bahawa produk seni, budaya dan warisan tidak boleh terus dikurung dalam kerangka preservation semata-mata. Ia mesti dihidupkan semula melalui inovasi, penyertaan komuniti serta penerapan nilai ekonomi dan teknologi agar relevan dengan zaman. Pihak kerajaan dan institusi budaya perlu menilai semula pendekatan yang diamalkan selama ini dan memberi ruang kepada kolaborasi rentas sektor yang lebih terbuka. Seni dan warisan bukanlah tinggalan masa lalu semata-mata tetapi sumber daya yang jika diaktifkan dengan betul dan mampu menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional yang progresif serta penjana ekonomi budaya negara yang mampan.

Post a Comment

0 Comments