BAGAIMANA "CUE" DIURUSKAN? - Back Stage Call

BAGAIMANA "CUE" DIURUSKAN?

Salamm...

Lama saya tidak menulis...busy dengan macam-macam hal..:-)

Bagi mereka yang biasa terlibat di belakang tabir, saya pasti tahu istilah 'Cue" yang saya maksudkan itu. 'Cue' adalah suatu sistem yang digunakan dalam unit pengurusan pentas dalam mengendalikan sesebuah persembahan. Ada juga saya tengok orang silap tulis perkataan 'Que' bukannya 'Cue'. Bunyi macam sama jer..tapi maksudnya lain. Ia merupakan suatu aturan atau sequence perjalanan suatu aksi atau perlakuan samada aktiviti yang dilakukan oleh artis atau teknikal. Apabila cue dikeluarkan oleh DSM, maka bermula pergerakan oleh perkara-perkara yang disebutkan diatas samada artis atau teknikal. 



Bagaimana Cue diuruskan? Sistem 'Cue' perlu diuruskan dengan betul agar perjalanan produksi tidak terganggu, lebih-lebih lagi sewaktu persembahan berlangsung. Kumpulan produksi yang bertaraf profesional akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan sistem cue tersebut. Ia di panggil 'Cue Meeting'. Mesyuarat tersebut akan dihadiri oleh pereka-pereka, SM Team, Pengarah Artistik (Malaysia) dan Pengarah Persembahan. Dalam mesyuarat tersebut ketentuan 'cue' akan dibincangkan dengan persetujuan pengarah dan pereka-pereka tersebut. Manakala DSM akan mencatat segala 'cue' yang telah ditetapkan. 

Sebagai contoh, dalam sesebuah babak, penentuan samada cahaya terang dahulu dan diikuti oleh set atau sebaliknya, adalah merupakan sebuah keputusan artistik yang perlu diselaraskan bersama. Ini bermaksud, tidak semestinya cahaya akan sentiasa menerangi pentas setelah set tersedia. Ia berkemungkinan set tersedia dahulu, sebelum cahaya diterangkan. Begitu juga dengan cahaya dan bunyi, dalam babak seperti antara bunyi burung berkicauan di sebelah pagi dengan cahaya di sebelah pagi juga,  perlu diselaraskan. Ada sesetengah pengarah atau pereka memilih bunyi burung dahulu dan diikuti dengan cahaya sinaran pagi dan ada juga yang sebaliknya. Segala keputusan tersebut adalah merupakan keputusan kreatif yang memaparkan tujuan tertentu berdasarkan subjek dan konteks dalam persembahan tersebut. 

Apa yang saya ingin perjelaskan di sini adalah, bahawa 'cue' ini tidak boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya sebagaimana tanggapan sesetengah pihak bahawa SM Team atau DSM bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sistem 'cue' sesebuah persembahan. DSM tidak sepatutnya memberi 'cue' dengan sesuka hati tanpa persetujuan pengarah dan pereka-pereka. Tetapi, sebaliknya sistem 'cue' adalah merupakan keputusan bersama oleh mereka-mereka yang berkenaan. Oleh itu, sistem 'cue' hendaklah dilakukan lebih awal selewat-lewatnya  sebelum 'tehnical rehearsal'. Jika ia tidak dilakukan dengan rapi, proses latihan teknikal akan menjadi lebih lama kerana kekeliruan yang bakal timbul, seperti antara kehendak pengarah persembahan dan pereka dengan tindakan DSM yang telah meletakkan 'cue' yang tidak tepat atau tidak mengikut kehendak pengarah atau pereka. 

Bagi sebuah produksi teater, sistem 'cue' tersebut hendaklah dicatat pada skrip teater itu sendiri, yakni skrip yang telah digunakan oleh DSM semasa mengendalikan latihan bersama pengarah. Skrip yang telah dicatat dengan 'cue' juga di panggil 'SM Book'. Dalam SM Book akan tercatat segala pergerakan pelakon, set, prop, artis dan teknikal. Bagi produksi yang berbentuk festival, ia tidak menggunakan SM Book, sebaliknya menggunakan istilah 'Running Order' atau 'Run-Down'. Segala sequence atau cue akan dimasukkan kedalam helaian (sheet) perjalanan produksi. Begitu juga dengan persembahan muzik atau tarian, jika ia tidak menggunakan skrip, sistem cue bersesuaian adalah menggunakan 'Running Order' atau 'Run-Down'. 

Dalam aspek lain, sistem penyampaian 'cue' juga hendaklah menggunakan sistem komunikasi yang betul. Dalam sesebuah produksi teater, alat yang paling sesuai adalah menggunakan 'Headset Intercom' atau menggunakan 'Cue Lights System'. Sistem tersebut digunakan adalah bagi mengelak penonton mendengar segala arahan cue yang dilakukan semasa persembahan berlangsung. Bagi 'Cue Lights System' pula amat bersesuaian bagi persembahan teater yang menggunakan ruang Arena atau Thrust, dimana penonton amat dekat sekali dengan pelakon dan pekerja pentas. Bagi persembahan berbentuk festival mungkin boleh menggunakan peralatan komunikasi lain seperti walkie-talkie. Walabagaimanapun, sistem walkie-talkie mempunyai kelemahannya yang tersendiri kerana ia memerlukan volume level yang tinggi ketika menggunakannya, khususnya semasa persembahan, lebih-lebih lagi jika ia digunakan berdekatan dengan  sistem pembesar suara (speaker) yang kuat. Oleh kerana kelemahan tersebut, ia akan menggangu pendengaran atau arahan yang dikeluarkan oleh pihak SM Team. Oleh itu, penggunaan 'Headset Intercom' juga dilihat amat bersesuaian dalam acara berbentuk festival. 

Pendek kata sistem pengurusan cue dalam sesebuah produksi adalah amat penting dan ia perlu diuruskan dengan betul bagi memastikan proses perjalanan produksi berjalan lancar. Jika hal ini tidak ditanggani dengan baik, ia akan memberi tekanan kepada semua pihak khsususnya SM Team yang terpaksa melakukan 'try & error' dan pada masa yang sama ingin memastikan hal-hal lain juga di tahap terbaik. 

Pengarah persembahan juga harus memainkan peranan dalam soal ini, jika mahu melihat tenaga produksi bekerja dalam keadaan harmoni dan beliau perlu menitikberatkan soal-soal remeh ini tetapi memberi makna dan pengertian yang besar kepada perjalanan keseluruhan produksi..:-)






Post a Comment

0 Comments