Pengenalan
Industri seni persembahan di Malaysia masih berhadapan dengan cabaran utama untuk berkembang sebagai sektor ekonomi yang mapan walaupun pelbagai bentuk bantuan kewangan telah disediakan oleh kerajaan melalui agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Antara skim bantuan yang aktif termasuklah Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) dan Insentif Seni oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta dana-dana lain yang berkaitan. Walaupun usaha ini memberikan impak positif dalam menghidupkan aktiviti seni dan budaya di peringkat komuniti, kebanyakan bantuan tersebut bersifat jangka pendek dan berorientasikan acara (event-based) bukan berbentuk pelaburan strategik ke arah pembangunan ekonomi budaya yang mampan. Justeru, kebergantungan penggiat seni terhadap bantuan tahunan menjadikan industri ini tidak berdaya tahan, tidak mempunyai infrastruktur tetap dan gagal berkembang sebagai entiti perniagaan yang lestari.
Perbandingan strategi di UK
Sebagai perbandingan, model pembiayaan seni di United Kingdom menunjukkan pendekatan yang lebih strategik dan mampan. Arts Council of England berperanan sebagai badan pelaburan yang memberikan geran jangka masa panjang kepada organisasi seni melalui National Portfolio Organisations (NPO) dengan tujuan membina entiti yang mampu menjana pendapatan sendiri. Di samping itu, UK National Lottery pula turut memainkan peranan penting dalam menyediakan dana prasarana untuk pembinaan panggung teater, galeri, ruang latihan dan kemudahan seni komuniti. Gabungan dana operasi (Arts Council) dan modal prasarana (National Lottery) menjadikan organisasi seni di UK berupaya membina model ekonomi jangka panjang. Strategi ini memastikan ekosistem seni tidak hanya hidup untuk acara sementara tetapi berakar kukuh sebagai sektor ekonomi budaya yang menyumbang kepada pekerjaan, pelancongan dan pembangunan bandar.
Cadangan penambaikkan kepada polisi sedia ada
Model seperti ini boleh dijadikan inspirasi bagi Malaysia melalui pembentukan satu paradigma baharu pelaburan ekonomi budaya yang menggabungkan unsur bantuan sosial dan pembangunan ekonomi kreatif. Pendekatan ini memerlukan perubahan struktur dalam pengurusan dana kebudayaan negara daripada sistem geran sementara kepada mekanisme pelaburan jangka panjang yang berasaskan pulangan ekonomi dan sosial. Dalam konteks ini, cadangan untuk mewujudkan satu Cultural Economy Investment Framework adalah langkah ke hadapan yang penting. Rangka dasar ini boleh membentuk dua jalur utama sokongan: pertama, bantuan jangka pendek bagi memeriahkan aktiviti kebudayaan komuniti dan kedua, pelaburan jangka panjang berbentuk dana pembangunan perusahaan seni yang mampu berkembang sebagai entiti komersial atau sosial berstruktur.
Sebagai contoh, peranan agensi seperti MyCreative Ventures, Khazanah Nasional dan Think City amat penting dalam mendukung paradigma baharu ini. MyCreative Ventures, yang ditubuhkan di bawah inisiatif kerajaan untuk memperkasakan industri kreatif nasional sudah mempunyai pengalaman dalam menyediakan pembiayaan berbentuk pinjaman mudah dan pelaburan ekuiti kepada syarikat dalam sektor filem, muzik, reka bentuk dan penerbitan. Sekiranya diperluaskan mandatnya, MyCreative Ventures boleh menjadi pemacu kepada skim Cultural Enterprise Fund yakni satu mekanisme pelaburan berasaskan gabungan (blended finance) yang menawarkan geran bersyarat, pinjaman mikro dan pelaburan ekuiti kepada syarikat produksi seni persembahan. Melalui kaedah ini, organisasi seni yang berpotensi dapat membangunkan model perniagaan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada geran tahunan. Sementara itu, Think City, yang berperanan dalam memperkasa pembangunan bandar berasaskan warisan dan budaya boleh menjadi rakan strategik dalam aspek perancangan ruang, pemulihan infrastruktur serta pembangunan hub seni dan budaya di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Bahru. Peranan Think City dalam menyediakan sokongan teknikal dan perancangan spatial amat penting bagi memastikan setiap pelaburan budaya mempunyai dimensi prasarana dan impak kepada komuniti setempat.
Dalam hal ini, penglibatan badan korporat atau konglomerat juga dapat mempergiatkan lagi usaha pembangunan pusat seni persembahan yang yang diuruskan secara professional serta dapat menjana pendapatan yang konsisten. Sebagai contoh, penubuhan Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) adalah hasil gabungan The Actors Studio, YTL Corporation serta Yayasan Budi Penyayang yang telah memunculkan sebuah pusat seni pentas yang membanggakan industri seni persembahan negara sejak tahun 2005.
Bagi memastikan paradigma ini dapat dilaksanakan secara sistematik, satu pelan pelaksanaan berfasa perlu diperkenalkan. Fasa pertama menekankan kepada reka bentuk dasar dan penubuhan unit pelaburan budaya khusus di bawah MOTAC atau sebagai entiti bebas seperti Cultural Investment Unit (CIU). Unit ini akan bertanggungjawab menilai permohonan pelaburan, menguruskan geran jangka masa panjang serta memantau prestasi organisasi seni yang menerima sokongan. Fasa kedua pula memperkenalkan pelaksanaan rintis (pilot) untuk Cultural Enterprise Fund dengan kerjasama MyCreative Ventures, Think City dan agensi kerajaan negeri di beberapa bandar utama. Dalam fasa ini, program inkubasi dan pembangunan kapasiti turut disediakan bagi melatih penggiat seni dalam bidang pengurusan kewangan, pemasaran digital, pengurusan hak cipta dan model perniagaan seni. Fasa ketiga menekankan kepada pengukuhan ekosistem melalui insentif cukai kepada pelabur swasta, penubuhan dana wakaf (endowment fund) dan pembangunan skim jaminan kredit bagi memudahkan organisasi seni mendapatkan akses kepada pembiayaan bank.
Pendekatan baharu ini turut memerlukan sistem pemantauan yang berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas, meliputi aspek kewangan, sosial dan kesan pasaran. Sebagai contoh, organisasi seni yang menerima pelaburan harus menunjukkan peningkatan pendapatan operasi, pertumbuhan penonton, penciptaan peluang pekerjaan serta kadar eksport karya seni ke luar negara. Penilaian ini bukan sekadar bersifat audit tetapi menjadi asas kepada penyaluran dana lanjutan berdasarkan prestasi. Di samping itu, mekanisme pelaporan digital dan keterbukaan data perlu diwujudkan bagi menjamin ketelusan dan menarik minat pelabur swasta serta penyumbang korporat untuk turut serta dalam pembiayaan sektor budaya.
Cadangan prinsip dasar untuk paradigma baru
Untuk menukar bantuan singkat ke arah pembangunan ekonomi jangka panjang, ambil prinsip berikut:
1) Dua rangka bantuan berbeza:
a) Sokongan jangkamasa pendek untuk aktiviti komuniti & program (kekal), b) Pelaburan jangka panjang (jangka masa panjang, modal, pembinaan
keupayaan, inkubator perniagaan).
2) Pendanaan berganda (blended finance)
Gabungan geran tak balik, geran boleh tukar (convertible grants), pinjaman
mikro, pelaburan ekuiti oleh dana awam atau swasta.
3) Pemantauan prestasi berasaskan perniagaan
KPI kewangan + sosial (audien, capaian, pekerjaan dan eksport budaya).
4) Sifat arms-length & governance profesional
Agensi bebas (unit khas dalam MOTAC / jabatan budaya) mengurus pelaburan supaya penilaian memberi fokus kepada potensi perniagaan bukan hanya kualiti
kuratorial.
5) Infrastruktur sebagai aset awam
Pelaburan prasarana (studio, teater, ruang produksi, ruang kostum) dibiayai secara
modal (bukan penyelenggaraan semata-mata).
Secara amnya, kelemahan sistem bantuan seni di Malaysia bukanlah disebabkan oleh kurangnya sokongan kerajaan tetapi lebih kepada struktur bantuan yang tidak berorientasikan pelaburan jangka panjang. Dengan memperkukuhkan peranan agensi sedia ada seperti MOTAC, MyCreative Ventures, Khazanah Malaysia dan Think City melalui pendekatan pelaburan yang lebih terarah, Malaysia mampu membina sebuah ekosistem ekonomi budaya yang mampan, inovatif dan berdaya saing. Paradigma baharu ini bukan sahaja akan memastikan kelangsungan organisasi seni dan warisan tempatan tetapi juga membuka ruang baharu kepada penciptaan pekerjaan, peningkatan nilai komersial seni dan pengukuhan identiti budaya nasional di peringkat global.
0 Comments