CABARAN SEMASA PENGGIAT INDUSTRI SENI KREATIF - Back Stage Call

CABARAN SEMASA PENGGIAT INDUSTRI SENI KREATIF


Assalamualaikum dan Salamat Sejahtera!!

SELAMAT TAHUN BARU 2019.

Terlalu lama saya tidak menulis di sini kerana kesibukan dengan tugasan dan hal-hal lain dalam menyesuaikan pusingan kehidupan yang sentiasa menuntut perubahan dan pemikiran baharu...

PERKEMBANGAN SEMASA INDUSTRI SENI KREATIF KITA

Merujuk kepada tajuk yang saya ingin bincangkan diatas, saya telah melihat dan memerhatikan industri seni kreatif kita semakin malap khususnya industri seni persembahan... seingat saya sepanjang tahun 2018 kita tidak lagi dikejutkan dengan fenomena produksi seni pentas yang menarik perhatian ramai sehinggakan menjadi bualan masyarakat seni mahupun orang awam di luar sana.

Sambutan atau kemeriahan ini pada saya lebih cemerlang pada tahun-tahun sebelumnya. Entah kenapa!...adakah kerana kita semua sudah tidak berminat lagi dengan seni dan budaya kita? Atau...adakah kita mahu berjimat cermat dalam keadaan ekonomi yang kurang baik dewasa ini? Atau...adakah corak persembahan kita tidak lagi menarik perhatian masyarakat? Atau...adakah dari segi pengurusannya kita gagal? Saya rasa banyak lagi yang boleh kita bertanya kenapa dan kenapa...Ini bukan untuk menyalahkan sesiapa tapi apa yang mahu saya katakan disini adalah hal ini telah wujud dan sedang wujud juga di tahun 2019 walaupun tahun 2019 masing diambang lagi...dan hal ini tidak mustahil akan berterusan jika kita tidak cuba mencari jalan penyelesaiannya atau sekurang-kurangnya mempunyai kesedaran tentang fenomena ini. 

Ada juga orang mengatakan bahawa hal ini telah lama wujud sebenarnya. Telah sekian lama industri ini tidak berkembang sebagaimana yang diharapkan oleh banyak pihak. Tapi saya percaya sekurang-kurangnya ada juga saat gembira pekerja industri ini mendapat imbuhan samada melalui jualan tiket mahupun penglibatan syarikat-syarikat yang menaja persembahan khususnya bagi produksi yang dipentaskan di Istana Budaya. Kebimbangan ini sebenarnya telah juga diperkatakan dalam resolusi Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN 2009). Nampaknya segala perbincangan atau resolusi dalam DIKN itu hanya menjadi sebagai bahan rujukan sahaja dan tidak menjadi sebagai bahan terpenting untuk kita jadikan panduan bagi tindakan yang WAJIB diambil jika kita tidak mahu industri ini lumpuh. 

KEMERIAHAN YANG HILANG...

Banyak produksi seni persembahan kita yang sudah tidak wujud lagi...sebagai contoh produksi teater-teater kecil sekitar tahun 90an yang amat terkenal sebagai DRAMA SEBABAK..kini tidak lagi wujud. Teater sebegini selalu dipentaskan di MATIC , Panggung Bandaraya, Panggung Eksperimen ET (ASWARA) dan Panggung DBP. Ada juga persembahan yang bertaraf PENTAS PERDANA dimana bajet produksi lebih mahal sedikit dari DRAMA SEBABAK juga tidak lagi wujud. Tujuan saya mengimbau hal ini bukannya mengajak kita ke belakang tapi produksi sebegini telah memahat sejarah bahawa kehadirannya pernah memeriahkan industri ini. Begitu juga dengan PRODUKSI TARI dan PRODUKSI MUZIK yang tidak kurang hebatnya dan hal ini menyebabkan penonton akan sentiasa mendapat peluang menikmati persembahan seni dan budaya kita dengan silih berganti. 

Untuk mengembalikan kemeriahan tersebut saya rasa tidak salah kalau kita hidupkan kembali kerana yang BAIK itu tidak pernah ROSAK.

MUNGKIN JUGA PERLU PEMIKIRAN BAHARU...?

Di alaf baru mungkin kita juga harus berfikiran cara baharu. Tahun hadapan adalah tahun yang di tunggu -tunggu oleh semua orang di seluruh dunia. Banyak orang di luar sana sedang berfikir ingin mencipta sesuatu yang luar biasa sempena TAHUN 2020. Semua pihak teruja menunggu tarikh tersebut. Oleh itu, tahun ini adalah tahun persiapan terakhir mereka. Apa kata kita juga berfikir seperti mereka bersiap sedia menghadapi cabaran tahun 2020 ini. 

Sebenarnya kemerosotan industri seni kreatif ini tidak hanya berlaku di negara kita. Malah di Amerika Syarikat mereka juga sedang mengalami nasib yang sama tetapi industri mereka tidak sekecil kita. Mereka masih boleh bertahan dan mempunyai pekerjaan tetap dalam industri kreatif. Pendapatan industri seni kreatif mereka sedang menurun dan mereka sedang mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini. Para pentadbir seni dan ahli akademik mereka telah berkumpul untuk membincangkan isu ini serta mencadangkan jalan penyelesaian yang terbaik demi masa depan indurtri seni mereka. Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah seperti berikut:

1) Kesan ekonomi dan cabaran dunia hari ini terhadap industri
    kreatif. Bagaimana industri lain menempuh cabaran ini?

2) Adakah kita tidak relevan lagi?

3) Adakah corak pengurusan kita tidak berubah sehingga tidak
     berkesan lagi? 

4) Adakah kita mengkaji kehendak penonton kita? Adakah
    penonton kita hanya sekadar menunggu dalam gelap untuk
    melihat apa yang kita ingin mereka pertontonkan?

5) Adakah mungkin kita harus berkerjasama dengan pihak lain
    bagi memastikan kita relevan sekaligus dapat meningkatkan
    pendapatan ekonomi kita.

6) Adakah kurikulum pendidikan seni kita telah berubah selari
    dengan perubahan ini?


Pada pandangan saya isu-isu yang dibincangkan oleh pentadbir dan ahli akademik Amerika Syarikat ini sangat dekat dan juga terpakai bagi negara kita. Mungkin kita juga harus mengambil langkah yang sama kot...

Cukup sekadar di sini dahulu coretan saya pada kali ini untuk kita sama-sama renungkan!!!

Terima kasih kerana membaca!!! jom kita sama-sama bincang dan cuba cari penyelesaian isu ini. 


Post a Comment

0 Comments